Wednesday 25 April 2018

Luahan dan harapan rakyat marhaen terhadap PRU 14


Menghargai Jasa....Mengenang Budi....

Kurang dari dua minggu kita akan keluar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara tanahair tercinta ini bagi menentukan siapa yang bakal menerajui negara kita untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sebelum itu, ingin dikongsikan sedikit bingkasan daripada seorang warganegara yang tidak mempunyai sebarang jawatan dan kepentingan terhadap mana-mana parti.

Zaman kecil dan remaja saya dibesarkan di kawasan perkampungan Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi atau lebih tepat bermula tahun 1982.

Dengan bantuan penuh kerajaan menawarkan tempat di tanah rancangan Felda, bapa saya pada ketika itu yang sememangnya hanya melakukan kerja kampung di Jementah, Segamat dengan rasa syukur dan tanpa persediaan rapi berangkatlah meninggalkan kampung halaman untuk menuju satu destinasi asing dengan harapan menggunung untuk membina kehidupan keluarga ke satu tahap lebih baik.

Kami melalui saat-saat sukar, kehidupan awal di tanah rancangan Felda. Kemudahan ala kadar waktu itu kami terima dengan rasa syukur tanpa keluhan. Mandi air perigi, malam bercahayakan lampu pelita minyak tanah, makan sekadar yang ada.

Waktu itu, jarak bandar terdekat (Kota Tinggi) adalah 48KM dan untuk ke sana perlu mengharungi jalan tanah merah. Saya masih ingat satu peristiwa ketika ibu mengalami masalah melahirkan adik kami yang bongsu, dengan kemudahan perubatan yang terhad di tanah rancangan Felda, ibu terpaksa dibawa ke Hospital Kota tinggi dengan menggunakan Van jual ikan.

Pengalaman itu mengajar kami untuk menghargai...

Mengharungi saat sukar itu, memotivasikan ramai anak-anak Felda dan dari masa ke semasa kerajaan sentiasa komited membela dan memperjuangkan nasib kami di Felda. Kehidupan yang dahulunya sukar terus terbela dengan bantuan dan komitment daripada kerajaan.

Setelah hampir 40 tahun, kita dapat lihat pembangunan bukan sahaja infrastruktur malahan tahap kehidupan keluarga peneroka juga menjadi lebih baik.

Selepas Felda berjaya, barulah kita dengar pembangkang hendak membantu Felda... benarkah mahu membantu atau sekadar mahu undi sahaja? Mengapa kalian muncul hanya ketika musim pilihan raya dan hilang selepas itu?

Masih terngiang di telinga kata-kata bapa kepada saya selepas tamat menduduki SPM dan saya minta untuk keluar dari rumah ke Johor Bahru mencari pekerjaan.

“Jangan lupa asal kita, jangan menidakkan jasa orang pada kita, jangan khianati budi yang telah kita terima,” kata-kata itu sebagai semangat yang saya semat dalam jiwa hingga kini.

Walau saya telah berkeluarga dan tidak lagi menetap di Tanah Rancangan Felda, namun apa jua yang berlaku di sana tetap saya ikuti dari masa ke semasa. Saya perhatikan sejak lebih 40 tahun dulu, kerajaan Barisan Nasional sentiasa bersama dengan kami sehingga Skim Tanah Rancangan Felda diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai program membasmi kemiskinan paling berjaya di dunia.

Alhamdulillah, kini dua anak saya berada di asrama penuh dengan bantuan penuh diberikan oleh kerajaan, seorang di sekolak teknik manakala seorang lagi di MRSM. Peluang sebegini bukan hanya saya sahaja yang telah menerima manfaat malahan ratusan ribu lagi lebih awal telah merasainya.

PRU-14, walau banyak kita dihidangkan dengan pelbagai tomahan kepada kerajaan terutama dalam media sosial hari ini.

Pelbagai isu dimainkan, 2.6B, cincin permata, IMDB, GST dan pelbagai lagi. Adakah isu-isu ini dapat dibuktikan kesahihannya. Pelbagai penerangan dan kebenaran telah di dedahkan dan tidak terlihat satupun kebenaran terhadap tomahan yang dilemparkan terhadap isu-isu ini.

Saya tidak layak untuk mengupas isu-isu ini secara mendalam, dari pandangan mata sebagai rakyat biasa, isu-isu yang dibangkitkan ini hanyalah sebagai jalan oleh pihak tertentu untuk menanam kebencian kepada kerajaan.

Saya terfikir juga, jika kebencian yang kita tanam, apakah yang akan kita tuai, jika pembangkang berjaya menjatuhkan kerajaan BN? huru-hara? kekacauan? balas dendam?

Tidak dinafikan, dalam kerajaan BN terdapat kelemahan di sana sini, namun saya percaya pucuk pimpinan sentiasa berusaha untuk melakukan penambahbaikan. Kita manusia tiada siapa yang sempurna, apa yang penting adalah semangat untuk melakukan yang benar dan menjauhi yang batil.

Jauh disudut hati, saya ingin lihat sesiapa pun yang diberi amanah untuk memimpin haruslah menjalankan amanah dengan telus adil dan bijaksana tanpa membeza-bezakan warna kulit. Kedaulatan bangsa melayu itu harus terus diangkat dan diperjuangkan.

Hilangkan sifat benci, dendam, cemburu, iri hati dan marah kerana kerosakan yang terjadi bukan hanya dirasai oleh seorang atau sekelompok tapi kesengsaraan itu nanti akan terkesan oleh semua jiwa yang menghuni tanah Melayu ini.

Saya menyeru kepada semua, ayuh kita buat keputusan yang tepat dan jangan kita gadaikan masa depan tanah Melayu ini untuk melihat kesengsaraan anak cucu kita pada masa hadapan.

Saya penuh yakin, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak berkebolehan untuk kita berikan amanah memimpin Negara Malaysia tercinta ini.

-Kyairul-
Bukit Mahkota, Bangi
25 April 2018

No comments:

Post a Comment