Monday, 18 September 2017

BERSEDIAKAH KITA UNTUK BERUBAH?


Sedar atau tidak, setiap hari kita mengalami perubahan. Perubahan atau evolusi ini merupakan fitrah dalam kehidupan yang tidak dapat ditahan-tahan. Sungguh pun kita hanya berdiam diri sekali pun dengan tidak berbuat apa-apa melainkan bernafas, kita tetap akan melalui perubahan masa dan umur.

Begitu jugalah dengan persekitaran kita; keluarga, harta-benda, cuaca, ekonomi dan politik. Apa yang kita alami dan rasai sekarang tentunya berlainan sama sekali dengan apa yang dilalui oleh bapa, datuk dan nenek moyang kita satu masa dahulu. Sesetengah perubahan memang kita nantikan seperti peningkatan taraf kehidupan dan pendapatan, kedatangan anggota keluarga yang baharu, dan kemajuan infrastruktur negara. Namun terdapat juga perubahan yang sebolehnya kita mengelaknya dari berlaku seperti kematian, kesan penuaan, kehilangan pendapatan, peperangan dan sebagainya. Persoalannya di sini, apakah kita mampu dan bersedia untuk menentukan perubahan mana yang sesuai untuk kita?

Cuba kita ambil contoh peperangan. Apakah peperangan ini sesuatu yang kita sebagai rakyat biasa mampu untuk elakkan? Bagi yang pesimis, pasti jawapannya tidak kerana golongan ini berpendapat semuanya ditentukan oleh ahli politik dan pemimpin negara. Namun hakikatnya, dari aspek demokrasi liberal, setiap ahli anggota masyarakat mampu untuk mengelakkan bencana politik yang membawa kepada peperangan ini.

Di sinilah timbulnya persoalan, ‘Adakah kita sebenarnya bersedia untuk menghadapi perubahan?’. Letusan media sosial yang berlaku pada tahun 2008 telah membuka ruang liberalisasi sosialisasi politik yang tidak terbatas kepada semua, membolehkan lebih ramai menyertai politik secara bebas luar dari lingkungan struktur parti politik. Kebebasan yang datang dengan secara mendadak ini telah mengakibatkan senario perubahan politik beberapa negara mengalami perubahan, termasuklah US sendiri di mana buat pertama kalinya Presiden kulit hitam pertama dilantik. Namun, bagi sesetengah negara pula, kesannya sangat buruk sehingga membawa kepada peperangan dan kehilangan nyawa di kalangan rakyat yang besar, terutamanya yang berlaku ketika revolusi Arab Spring. Malah Malaysia juga tidak terkecuali dari merasai perubahan ini, apabila buat pertama kalinya majoriti parti Barisan Nasional (BN) di parlimen gagal mencapai 2/3 selain kehilangan beberapa buah negeri ke tangan pakatan parti pembangkang.

Jika diteliti dari konteks Malaysia, apakah perubahan yang berlaku pasca PRU 2008 ini yang dinahukan oleh majoriti rakyat? Dari aspek liberalisasi demokrasi, perubahan ini mungkin membawa petanda yang baik di mana lebih ramai rakyat mampu untuk menyuarakan pendapat politik mereka di media sosial dan mengurangkan elemen autokrasi dalam pentadbiran kerajaan pusat. Namun dari aspek perpaduan, perubahan ini sedikit sebanyak telah mewujudkan perpecahan dan pertelagahan di kalangan rakyat yang berbeza pandangan politik yang mengambil masa yang signifikan untuk dipulihkan kembali.

Malahan kempen politik komunal yang berterusan oleh parti-parti politik yang berasaskan kaum di Malaysia telah menyebabkan lebih ramai rakyat menjadi keliru dan bersikap ekstrem, terutamanya di sepanjang garis kaum dan agama. Buktinya, PRU-13 pada tahun 2013 telah diberi jolokan sebagai “Tsunami Cina” apabila keputusan menunjukkan majoriti etnik Cina berpihak kepada pakatan pembangkang, dan kemenangan BN bergantung kepada undi Melayu dan Bumiputera. Walaupun, Malaysia mungkin mengalami perubahan politik yang berlaku secara beransur-ansur tidak seperti Arab Spring yang membawa kepada peperangan, namun adakah ini arah perubahan yang rakyat Malaysia mahukan?

Beberapa kejadian pertelingkahan antara kaum (terutamanya Melayu dengan Cina) sejak kebelakangan ini memberikan kita petanda bahawa wujud api dalam sekam yang hanya menunggu masa untuk marak jika tidak kena caranya. Jika PRU-12 dan PRU-13 dilihat menjarakkan dua etnik terbesar negara berikutan perbezaan pendapat politik, apakah pula hasilnya nanti pada PRU-14 kelak? Bersediakah kita dengan perubahan yang bakal berlaku selepas itu?



Namun begitu, ini bukanlah bermakna kita tidak berupaya untuk mengelakkan perubahan yang memusnahkan ini, bahkan dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia, kita mempunyai kuasa untuk menentukan arah perubahan tersebut. Apa yang penting adalah kita mampu untuk membezakan di antara tiga bentuk perubahan budaya politik yang kita mahukan. Ini adalah kerana perubahan budaya politik ini berlaku dalam tiga fasa iaitu, mikro, meso dan makro. Fasa mikro adalah fasa paling fleksibel di mana perubahan berlaku setiap masa seperti mana isu yang diperdebatkan dan mempengaruhi kita di media sosial setiap hari. Perubahan secara agregat di peringkat mikro ini boleh membawa kepada perubahan fasa meso seperti contoh pemansuhan ISA dan kebebasan untuk mengadakan perhimpunan jalanan.

Tetapi apabila kita keluar mengundi memilih pemimpin kelak, kita sebenarnya sedang menentukan perubahan di peringkat paling tinggi iaitu, makro. Contoh budaya politik makro ini adalah Islam sebagai agama persekutuan, hak orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan sebagainya. Ini adalah kerana barisan pemimpin politik yang kita pilih untuk menduduki dan menentukan dasar dan masa depan negara kelak akan mencorakkannya mengikut ideologi yang dijulang oleh parti yang memegang tampuk majoriti. Namun begitu, kebanyakan jentera parti-parti politik ini sangat pandai menyembunyikan agenda perubahan makro ini dalam bentuk pendebatan mikro dan meso agar kebencian dan elemen emosi sentiasa dapat dimanipulasi. Oleh kerana itulah, setiap dari kita seharusnya sedar dan mempunyai pengetahuan yang secukupnya untuk membezakan di antara isu persepsi politik dengan agenda terselindung bagi mengelakkan kita menjadi sebahagian alat parti-parti politik untuk mereka mengecapi kuasa dan mengubah budaya politik yang menjadi asas penubuhan dan kelangsungan kemakmuran yang dikecapi kita selama ini.

Oleh kerana itu, sekali lagi, sebelum kita semua beremosi dengan isu politik yang ditimbulkan secara bebas dan tidak bertanggungjawab di media sosial, “Adakah kita bersedia untuk berubah?”             


Rujukan:

Gibbins, J. R. (1989). Contemporary Political Culture: Politics in a Postmodern Age. London, UK: SAGE Modern Political Series Volume 23 sponsored by the European Consortium for Political Research/ECPR

Magstadt, T. M. (2009). Understanding Politics: Ideas, Institutions and Issues (7th ed.). Wadsworth CENGAGE Learning


Mohd Fuad Mat Jali, Junaidi Awang Besar, Novel Lyndon & Mohd Faidz Mohd Zain. (2014). ‘Realignment’ pengundi Cina dalam PRU ke-13, 2013. Malaysian Journal of Society and Space 10 (54 - 64). Diakses dari http://www.ukm.my/geografia/images/upload/5a.paper-modhfuad.pdf

Wolfsfield, G., Segev, E. & Sheafer, T. (2013). Social Media and The Arab Spring: Politics Comes First. The International Journal of Press/Politics 18(2), 115-137. Diakses dari http://journals.sagepub.com/doi/abs/10.1177/1940161212471716

No comments:

Post a Comment