Thursday 28 September 2017

Dobi Muslim ketika Oktoberfest: Siapa yang bersalah?

Isu pesta bir di lembah kelang dan dobi muslim di Muar telah membuka pekung baru masalah perkauman yang membara di Malaysia. Dalam pada satu pihak meminta pihak berkuasa dan kerajaan menghormati 'hak' mereka untuk menikmati pesta alkohol, mereka juga telah mempertikai hak kawan muslim mereka untuk menjalankan perniagaan tertutup. Bukankah hak untuk menjual barang atau perkhidmatan secara terpilih juga hak yang terjamin dalam konsep demokrasi?


Sama ada kita suka atau tidak, apa yang rakyat Malaysia hadapi sekarang adalah masalah atau kelemahan yang wujud dari sistem demokrasi itu sendiri. Lebih-lebih lagi apabila Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan agama di kalangan rakyat. Mari kita kupas satu-persatu masalah-masalah berkenaan demokrasi yang membelenggu rakyat Malaysia kini.

1) Kezaliman majoriti

Umum bersetuju bahawa majoriti rakyat Malaysia ketika ini adalah terdiri dari kalangan orang Melayu beragama Islam yang berjumlah kira-kira hampir 60% dari keseluruhan rakyat. Di tangga kedua adalah etnik Cina yang berjumlah kira-kira 20%. Peratusan pecahan penganut agama juga menunjukkan pola yang hampir serupa dengan orang Islam berjumlah kira-kira 60%.

Masalah timbul apabila peratusan ini tidak mewakili pecahan peratusan pengundi yang berdaftar dan keluar mengundi. Tahukah anda bahawa walaupun orang Cina hanya berjumlah kira-kira 20% dari keseluruhan populasi, namun kualiti pengundi mereka adalah tinggi. Jumlah yang berdaftar dan keluar mengundi bagi etnik Cina adalah tinggi, dan menumpukan kekuatan undi mereka kepada satu parti yang mereka yakin, iaitu DAP.

Sementara orang Melayu pula, walaupun mereka kelompok majoriti, namun ramai yang tidak berdaftar dan keluar mengundi,ditambah pula masalah perpecahan undi mereka di kalangan pelbagai parti politik di negara ini. Situasi ini menyebabkan tumpuan kekuatan orang Melayu yang juga menunjangi orang Islam di Malaysia menjadi tergugat kerana mereka tidak diwakili oleh satu parti politik yang kuat.

Masalah ini semakin memburuk apabila timbul tuntutan dari etnik minoriti yang mempunyai majoriti dalam pentadbiran kerajaan, seperti di Selangor dan P. Pinang. Orang Melayu mungkin marah kerana hak mereka sebagai kelompok majoriti seperti dinafikan, namun mereka juga perlu menerima hakikat bahawa "majoriti" yang menguasai pentadbiran sesebuah kerajaan sahaja yang berkuasa menentukan undang-undang dan peraturan.


2) Ketegangan di antara keadilan dan demokrasi

Sama seperti situasi yang dibincangkan di atas, apabila kelompok etnik minoriti menguasai pentadbiran sesebuah kerajaan maka ketegangan akan timbul apabila usul yang bertentangan dengan aspirasi/pendapat/kepercayaan majoriti rakyat yang sebenar dibawa oleh wakil rakyat yang terpilih. Dalam menghadapi situasi ini, sudah pastinya pihak yang menguasai pentadbiran akan akhirnya dapat mengatasinya dengan menggubal dasar yang akan memastikan kelompok rakyat majoriti sebenar terus berpecah-belah dan tidak mampu untuk mempengaruhi keputusan kerajaan.

Bagaimana ini semua boleh berlaku pada asalnya? Perkara ini akan kita bincangkan selepas ini.


3) Peranan mereka yang pakar

Di sinilah bermulanya semua masalah. Sedang Islam menganjurkan agar kita memilih pemimpin yang layak dan adil, namun perkara yang sama tidak dapat dijamin oleh sistem demokrasi. Seringkali dibuktikan dalam sejarah, beberapa pemimpin yang telah memenangi pilihanraya kerana emosi rakyat berjaya dimanipulasi sehingga ramai keluar mengundi tanpa memikirkan kesan masa panjang. Perkara yang sama juga berlaku di Malaysia.

Ramai yang telah keluar mengundi sebelum ini tidak memikirkan kesan jangka panjang terhadap undi yang mereka berikan kepada pemimpin politik yang bertanding. Ada yang mengundi dengan taksub, dengan hanya melihat logo parti tanpa menilai keupayaan dan kelayakan calon itu sendiri. Dalam erti kata lain, bagi pengundi jenis ini, letak selipar pun boleh menang asalkan selipar tersebut mewakili parti politik yang mereka sokong. 

Ada yang berpuas hati hanya dengan melihat parti atau pemimpin politik tertentu kalah dalam pilihanraya. Selepas itu mereka tidak ambil peduli lagi. Tahukah anda bahawa setiap wakil rakyat yang anda pilih layak untuk mengusul dan meluluskan undang-undang yang boleh memberikan kesan kepada masa depan anda? 

Tahukah kita juga bahawa setiap wakil rakyat yang kita pilih, kita tanggung elaun dan kehidupan mereka (melalui cukai) selepas itu sehingga mereka mati? Jadi apakah kita masih lagi mahu menutup mata ketika mengundi?

Oleh kerana etnik majoriti ramai yang tidak berdaftar, keluar mengundi, malah merosakkan undi, maka pihak yang tidak sepatutnya menang (contohnya wakil rakyat yang anti Islam/Melayu) menang pilihanraya kerana disokong secara padu oleh kelompok etnik tertentu, termasuklah pecahan kecil orang Melayu Islam itu sendiri. Kemudian apabila kelompok pemimpin ini menggubal pula dasar yang menidakkan hak orang Islam sebagai rakyat majoriti, apakah layak untuk kita marah dan beremosi?

Jika kelompok bukan Islam semakin berani menekan orang Islam di negara Islam sendiri, apakah semuanya berpunca dari kesilapan kita sendiri? Mengapa kita perlu menjerit-jerit dan melaungkan slogan perang jihad sedangkan kita juga yang tidak mengambil peluang untuk mewujudkan sebuah kerajaan Melayu-Islam yang kuat pada pilihanraya yang lalu?
 

Tuesday 19 September 2017

DBKL seharusnya menurut aspirasi pengundi Kuala Lumpur

Penganjuran pesta bir 2017 di Kuala Lumpur yang tidak mendapat kelulusan DBKL telah ditentang oleh 5 ahli parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Teresa Kok (DAP-Seputeh), Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) dan Tan Kwee Kwong (PKR-Wangsa Maju). Menurut sumber berita tersebut lagi, parti komponen BN iaitu MCA juga menyatakan bantahan terhadap keputusan tersebut, walaupun parti itu tiada merit untuk mengulas isu ini kerana tidak memenangi mana-mana kerusi parlimen di Kuala Lumpur pada PRU yang lalu. MCA telah menyatakan kesan negatif yang mungkin timbul terhadap industri pelancongan sebagai punca bantahan mereka dalam hal tersebut walaupun pemimpin parti tersebut tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.


Namun begitu, isu ini seharusnya dibincangkan secara objektif tanpa melibatkan sebarang sentimen yang berbaur fahaman politik. Seharusnya diingat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen di mana setiap wakil rakyatnya dipilih secara oleh majoriti rakyat yang menyokong aspirasi dan ideologi mereka. Dan dalam hal penganjuran pesta arak di Kuala Lumpur ini, DBKL seharusnya mempertimbangkan kembali keputusan mereka untuk tidak meluluskan permit penganjuran tersebut. Seperti mana yang dibangkitkan oleh lima wakil rakyat yang dipilih oleh majoriti pengundi di Kuala Lumpur, DBKL seharusnya menyatakan sebab penolakan kelulusan permit tersebut.

Ini adalah kerana kelima-lima rakyat yang telah dipilih tersebut merupakan wakil rakyat yang memenangi undi rakyat dengan majoriti yang sangat besar dengan Teresa Kok 51,552, Lim Lip Eng 19,199, Fong Kui Lun 19,399, Tan Kok Wai 37,409 dan Tan Kwee Kwong dengan 5,511. Jelas sekali kelima-lima wakil rakyat tersebut telah mendapat mandat dan sokongan yang besar dari para pengundi di kawasan masing-masing. Tentu sekali kenyataan mereka ini turut disokong oleh ahli parlimen Kuala Lumpur yang lain kerana 9 dari 12 ahli parlimen Kuala Lumpur adalah merupakan wakil dari parti pakatan pembangkang.

Situasi ini seharusnya tidak dicampur adukkan dengan Perlembagaan Negara itu sendiri di mana Islam merupakan agama bagi persekutuan dan arak itu adalah haram di sisi Islam. Ini adalah kerana ahli-ahli parlimen tersebut hanya menyuarakan aspirasi mereka yang telah mendapat sokongan padu, termasuklah dari kalangan orang Islam sendiri. Para penyokong pakatan pembangkang yang telah mengundi wakil-wakil rakyat ini seharusnya tidak cepat melatah dengan melabelkan mereka sebagai anti Islam atau tidak sensitif terhadap umat Islam dan sebagainya kerana mereka memenangi pilihanraya lalu melalui undi anda juga. Begitu juga dengan para penyokong BN seharusnya hanya menerima penganjuran pesta arak tersebut kerana parti anda telah gagal memenangi pilihanraya di KL, walaupun secara pentadbirannya KL diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri dan DBKL pasca 13 Mei 1969.     

Ini adalah merupakan impak demokrasi itu sendiri, sama ada kita suka atau tidak. Secara fitrahnya, setiap perkara ada buruk dan baiknya. Begitu jugalah demokrasi. Dalam pada kita suka kepada sistem pemilihan terbuka di mana semua orang layak untuk mengundi dan memilih pemimpin, demokrasi juga ada kelemahannya. Secara teorinya, terdapat tiga kelemahan demokrasi iaitu kezaliman majoriti, ketegangan di antara keadilan dan demokrasi dan peranan yang pakar. Apa yang sedang berlaku ketika ini adalah merupakan masalah yang timbul dari kelemahan sistem demokrasi itu sendiri.

Mungkin betul ramai orang, termasuklah orang bukan Islam yang menolak untuk diadakan pesta arak tersebut, namun, adakah yang menentang ini merupakan mereka yang telah memberikan kemenangan majoriti yang besar kepada semua wakil rakyat tadi? Kalau benar mereka yang telah mengundi wakil rakyat tadi dan memberikan kemenangan besar, kemudian tidak setuju pula dengan tindak tanduk wakil rakyat yang dipilih sendiri, maka akuilah yang kita masih lagi tidak mengundi dengan menggunakan akal dan pengetahuan.

Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan dari ketegangan seumpama ini berlaku lagi selepas ini? Oleh kerana kita hidup dalam sistem demokrasi pilihanraya, maka kita perlu tunggu sekali lagi pilihanraya untuk memilih mereka yang benar-benar pakar sebagai pemimpin yang mampu membawa aspirasi rakyat majoriti. Buat masa ini, terima sahajalah tindak tanduk dan dasar yang dibawa oleh pemimpin pilihan anda, walaupun bertentangan dengan moral dan pegangan agama. Pastinya DBKL juga menghadapi masalah dalam memberikan alasan kepada wakil-wakil rakyat pilihan majoriti ini.


Rujukan:

Free Malaysia Today. (2017). DAP, PKR, MCA condemn decision to disallow KL beer festival. Diakses dari http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/09/18/dap-mca-condemn-decision-to-disallow-kl-beer-festival/

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2016). Diakses dari http://www.motour.gov.my/

Parvin, P. & Chambers, C. (2012). Political Philosophy, A complete Introduction. Great Britain: Hodder & Stoughton     

Sistem Pengurusan Maklumat Pilihan Raya Umum. (n.d.). Keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen. Diakses dari http://resultpru13.spr.gov.my/module/keputusan/paparan/paparan_Laporan.php#

Monday 18 September 2017

BERSEDIAKAH KITA UNTUK BERUBAH?


Sedar atau tidak, setiap hari kita mengalami perubahan. Perubahan atau evolusi ini merupakan fitrah dalam kehidupan yang tidak dapat ditahan-tahan. Sungguh pun kita hanya berdiam diri sekali pun dengan tidak berbuat apa-apa melainkan bernafas, kita tetap akan melalui perubahan masa dan umur.

Begitu jugalah dengan persekitaran kita; keluarga, harta-benda, cuaca, ekonomi dan politik. Apa yang kita alami dan rasai sekarang tentunya berlainan sama sekali dengan apa yang dilalui oleh bapa, datuk dan nenek moyang kita satu masa dahulu. Sesetengah perubahan memang kita nantikan seperti peningkatan taraf kehidupan dan pendapatan, kedatangan anggota keluarga yang baharu, dan kemajuan infrastruktur negara. Namun terdapat juga perubahan yang sebolehnya kita mengelaknya dari berlaku seperti kematian, kesan penuaan, kehilangan pendapatan, peperangan dan sebagainya. Persoalannya di sini, apakah kita mampu dan bersedia untuk menentukan perubahan mana yang sesuai untuk kita?

Cuba kita ambil contoh peperangan. Apakah peperangan ini sesuatu yang kita sebagai rakyat biasa mampu untuk elakkan? Bagi yang pesimis, pasti jawapannya tidak kerana golongan ini berpendapat semuanya ditentukan oleh ahli politik dan pemimpin negara. Namun hakikatnya, dari aspek demokrasi liberal, setiap ahli anggota masyarakat mampu untuk mengelakkan bencana politik yang membawa kepada peperangan ini.

Di sinilah timbulnya persoalan, ‘Adakah kita sebenarnya bersedia untuk menghadapi perubahan?’. Letusan media sosial yang berlaku pada tahun 2008 telah membuka ruang liberalisasi sosialisasi politik yang tidak terbatas kepada semua, membolehkan lebih ramai menyertai politik secara bebas luar dari lingkungan struktur parti politik. Kebebasan yang datang dengan secara mendadak ini telah mengakibatkan senario perubahan politik beberapa negara mengalami perubahan, termasuklah US sendiri di mana buat pertama kalinya Presiden kulit hitam pertama dilantik. Namun, bagi sesetengah negara pula, kesannya sangat buruk sehingga membawa kepada peperangan dan kehilangan nyawa di kalangan rakyat yang besar, terutamanya yang berlaku ketika revolusi Arab Spring. Malah Malaysia juga tidak terkecuali dari merasai perubahan ini, apabila buat pertama kalinya majoriti parti Barisan Nasional (BN) di parlimen gagal mencapai 2/3 selain kehilangan beberapa buah negeri ke tangan pakatan parti pembangkang.

Jika diteliti dari konteks Malaysia, apakah perubahan yang berlaku pasca PRU 2008 ini yang dinahukan oleh majoriti rakyat? Dari aspek liberalisasi demokrasi, perubahan ini mungkin membawa petanda yang baik di mana lebih ramai rakyat mampu untuk menyuarakan pendapat politik mereka di media sosial dan mengurangkan elemen autokrasi dalam pentadbiran kerajaan pusat. Namun dari aspek perpaduan, perubahan ini sedikit sebanyak telah mewujudkan perpecahan dan pertelagahan di kalangan rakyat yang berbeza pandangan politik yang mengambil masa yang signifikan untuk dipulihkan kembali.

Malahan kempen politik komunal yang berterusan oleh parti-parti politik yang berasaskan kaum di Malaysia telah menyebabkan lebih ramai rakyat menjadi keliru dan bersikap ekstrem, terutamanya di sepanjang garis kaum dan agama. Buktinya, PRU-13 pada tahun 2013 telah diberi jolokan sebagai “Tsunami Cina” apabila keputusan menunjukkan majoriti etnik Cina berpihak kepada pakatan pembangkang, dan kemenangan BN bergantung kepada undi Melayu dan Bumiputera. Walaupun, Malaysia mungkin mengalami perubahan politik yang berlaku secara beransur-ansur tidak seperti Arab Spring yang membawa kepada peperangan, namun adakah ini arah perubahan yang rakyat Malaysia mahukan?

Beberapa kejadian pertelingkahan antara kaum (terutamanya Melayu dengan Cina) sejak kebelakangan ini memberikan kita petanda bahawa wujud api dalam sekam yang hanya menunggu masa untuk marak jika tidak kena caranya. Jika PRU-12 dan PRU-13 dilihat menjarakkan dua etnik terbesar negara berikutan perbezaan pendapat politik, apakah pula hasilnya nanti pada PRU-14 kelak? Bersediakah kita dengan perubahan yang bakal berlaku selepas itu?



Namun begitu, ini bukanlah bermakna kita tidak berupaya untuk mengelakkan perubahan yang memusnahkan ini, bahkan dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia, kita mempunyai kuasa untuk menentukan arah perubahan tersebut. Apa yang penting adalah kita mampu untuk membezakan di antara tiga bentuk perubahan budaya politik yang kita mahukan. Ini adalah kerana perubahan budaya politik ini berlaku dalam tiga fasa iaitu, mikro, meso dan makro. Fasa mikro adalah fasa paling fleksibel di mana perubahan berlaku setiap masa seperti mana isu yang diperdebatkan dan mempengaruhi kita di media sosial setiap hari. Perubahan secara agregat di peringkat mikro ini boleh membawa kepada perubahan fasa meso seperti contoh pemansuhan ISA dan kebebasan untuk mengadakan perhimpunan jalanan.

Tetapi apabila kita keluar mengundi memilih pemimpin kelak, kita sebenarnya sedang menentukan perubahan di peringkat paling tinggi iaitu, makro. Contoh budaya politik makro ini adalah Islam sebagai agama persekutuan, hak orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan sebagainya. Ini adalah kerana barisan pemimpin politik yang kita pilih untuk menduduki dan menentukan dasar dan masa depan negara kelak akan mencorakkannya mengikut ideologi yang dijulang oleh parti yang memegang tampuk majoriti. Namun begitu, kebanyakan jentera parti-parti politik ini sangat pandai menyembunyikan agenda perubahan makro ini dalam bentuk pendebatan mikro dan meso agar kebencian dan elemen emosi sentiasa dapat dimanipulasi. Oleh kerana itulah, setiap dari kita seharusnya sedar dan mempunyai pengetahuan yang secukupnya untuk membezakan di antara isu persepsi politik dengan agenda terselindung bagi mengelakkan kita menjadi sebahagian alat parti-parti politik untuk mereka mengecapi kuasa dan mengubah budaya politik yang menjadi asas penubuhan dan kelangsungan kemakmuran yang dikecapi kita selama ini.

Oleh kerana itu, sekali lagi, sebelum kita semua beremosi dengan isu politik yang ditimbulkan secara bebas dan tidak bertanggungjawab di media sosial, “Adakah kita bersedia untuk berubah?”             


Rujukan:

Gibbins, J. R. (1989). Contemporary Political Culture: Politics in a Postmodern Age. London, UK: SAGE Modern Political Series Volume 23 sponsored by the European Consortium for Political Research/ECPR

Magstadt, T. M. (2009). Understanding Politics: Ideas, Institutions and Issues (7th ed.). Wadsworth CENGAGE Learning


Mohd Fuad Mat Jali, Junaidi Awang Besar, Novel Lyndon & Mohd Faidz Mohd Zain. (2014). ‘Realignment’ pengundi Cina dalam PRU ke-13, 2013. Malaysian Journal of Society and Space 10 (54 - 64). Diakses dari http://www.ukm.my/geografia/images/upload/5a.paper-modhfuad.pdf

Wolfsfield, G., Segev, E. & Sheafer, T. (2013). Social Media and The Arab Spring: Politics Comes First. The International Journal of Press/Politics 18(2), 115-137. Diakses dari http://journals.sagepub.com/doi/abs/10.1177/1940161212471716