Penganjuran pesta bir 2017 di Kuala Lumpur yang tidak mendapat kelulusan
DBKL telah ditentang oleh 5 ahli parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Tan Kok Wai
(DAP-Cheras), Teresa Kok (DAP-Seputeh), Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Fong Kui
Lun (DAP-Bukit Bintang) dan Tan Kwee Kwong (PKR-Wangsa Maju). Menurut sumber
berita tersebut lagi, parti komponen BN iaitu MCA juga menyatakan bantahan
terhadap keputusan tersebut, walaupun parti itu tiada merit untuk mengulas isu
ini kerana tidak memenangi mana-mana kerusi parlimen di Kuala Lumpur pada PRU
yang lalu. MCA telah menyatakan kesan negatif yang mungkin timbul terhadap
industri pelancongan sebagai punca bantahan mereka dalam hal tersebut walaupun pemimpin
parti tersebut tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam Kementerian Pelancongan
dan Kebudayaan.
Namun begitu, isu ini seharusnya dibincangkan secara objektif tanpa
melibatkan sebarang sentimen yang berbaur fahaman politik. Seharusnya diingat
bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen
di mana setiap wakil rakyatnya dipilih secara oleh majoriti rakyat yang
menyokong aspirasi dan ideologi mereka. Dan dalam hal penganjuran pesta arak di
Kuala Lumpur ini, DBKL seharusnya mempertimbangkan kembali keputusan mereka
untuk tidak meluluskan permit penganjuran tersebut. Seperti mana yang
dibangkitkan oleh lima wakil rakyat yang dipilih oleh majoriti pengundi di
Kuala Lumpur, DBKL seharusnya menyatakan sebab penolakan kelulusan permit
tersebut.
Ini adalah kerana kelima-lima rakyat yang telah dipilih tersebut merupakan
wakil rakyat yang memenangi undi rakyat dengan majoriti yang sangat besar
dengan Teresa Kok 51,552, Lim Lip Eng 19,199, Fong Kui Lun 19,399, Tan Kok Wai
37,409 dan Tan Kwee Kwong dengan 5,511. Jelas sekali kelima-lima wakil rakyat
tersebut telah mendapat mandat dan sokongan yang besar dari para pengundi di
kawasan masing-masing. Tentu sekali kenyataan mereka ini turut disokong oleh
ahli parlimen Kuala Lumpur yang lain kerana 9 dari 12 ahli parlimen Kuala
Lumpur adalah merupakan wakil dari parti pakatan pembangkang.
Situasi ini seharusnya tidak dicampur adukkan dengan Perlembagaan Negara
itu sendiri di mana Islam merupakan agama bagi persekutuan dan arak itu adalah
haram di sisi Islam. Ini adalah kerana ahli-ahli parlimen tersebut hanya
menyuarakan aspirasi mereka yang telah mendapat sokongan padu, termasuklah dari
kalangan orang Islam sendiri. Para penyokong pakatan pembangkang yang telah
mengundi wakil-wakil rakyat ini seharusnya tidak cepat melatah dengan melabelkan
mereka sebagai anti Islam atau tidak sensitif terhadap umat Islam dan
sebagainya kerana mereka memenangi pilihanraya lalu melalui undi anda juga.
Begitu juga dengan para penyokong BN seharusnya hanya menerima penganjuran
pesta arak tersebut kerana parti anda telah gagal memenangi pilihanraya di KL,
walaupun secara pentadbirannya KL diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri dan
DBKL pasca 13 Mei 1969.
Ini adalah merupakan impak demokrasi itu sendiri, sama ada kita suka atau
tidak. Secara fitrahnya, setiap perkara ada buruk dan baiknya. Begitu jugalah
demokrasi. Dalam pada kita suka kepada sistem pemilihan terbuka di mana semua
orang layak untuk mengundi dan memilih pemimpin, demokrasi juga ada
kelemahannya. Secara teorinya, terdapat tiga kelemahan demokrasi iaitu
kezaliman majoriti, ketegangan di antara keadilan dan demokrasi dan peranan
yang pakar. Apa yang sedang berlaku ketika ini adalah merupakan masalah yang
timbul dari kelemahan sistem demokrasi itu sendiri.
Mungkin betul ramai orang, termasuklah orang bukan Islam yang menolak untuk
diadakan pesta arak tersebut, namun, adakah yang menentang ini merupakan mereka
yang telah memberikan kemenangan majoriti yang besar kepada semua wakil rakyat
tadi? Kalau benar mereka yang telah mengundi wakil rakyat tadi dan memberikan
kemenangan besar, kemudian tidak setuju pula dengan tindak tanduk wakil rakyat
yang dipilih sendiri, maka akuilah yang kita masih lagi tidak mengundi dengan menggunakan
akal dan pengetahuan.
Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan dari ketegangan seumpama
ini berlaku lagi selepas ini? Oleh kerana kita hidup dalam sistem demokrasi
pilihanraya, maka kita perlu tunggu sekali lagi pilihanraya untuk memilih
mereka yang benar-benar pakar sebagai pemimpin yang mampu membawa aspirasi
rakyat majoriti. Buat masa ini, terima sahajalah tindak tanduk dan dasar yang
dibawa oleh pemimpin pilihan anda, walaupun bertentangan dengan moral dan
pegangan agama. Pastinya DBKL juga menghadapi masalah dalam memberikan alasan
kepada wakil-wakil rakyat pilihan majoriti ini.
Rujukan:
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2016). Diakses dari http://www.motour.gov.my/
Parvin, P. & Chambers, C. (2012). Political
Philosophy, A complete Introduction. Great Britain: Hodder &
Stoughton
No comments:
Post a Comment