Isu pesta bir di lembah kelang dan dobi muslim di Muar telah membuka pekung baru masalah perkauman yang membara di Malaysia. Dalam pada satu pihak meminta pihak berkuasa dan kerajaan menghormati 'hak' mereka untuk menikmati pesta alkohol, mereka juga telah mempertikai hak kawan muslim mereka untuk menjalankan perniagaan tertutup. Bukankah hak untuk menjual barang atau perkhidmatan secara terpilih juga hak yang terjamin dalam konsep demokrasi?
Sama ada kita suka atau tidak, apa yang rakyat Malaysia hadapi sekarang adalah masalah atau kelemahan yang wujud dari sistem demokrasi itu sendiri. Lebih-lebih lagi apabila Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan agama di kalangan rakyat. Mari kita kupas satu-persatu masalah-masalah berkenaan demokrasi yang membelenggu rakyat Malaysia kini.
1) Kezaliman majoriti
Umum bersetuju bahawa majoriti rakyat Malaysia ketika ini adalah terdiri dari kalangan orang Melayu beragama Islam yang berjumlah kira-kira hampir 60% dari keseluruhan rakyat. Di tangga kedua adalah etnik Cina yang berjumlah kira-kira 20%. Peratusan pecahan penganut agama juga menunjukkan pola yang hampir serupa dengan orang Islam berjumlah kira-kira 60%.
Masalah timbul apabila peratusan ini tidak mewakili pecahan peratusan pengundi yang berdaftar dan keluar mengundi. Tahukah anda bahawa walaupun orang Cina hanya berjumlah kira-kira 20% dari keseluruhan populasi, namun kualiti pengundi mereka adalah tinggi. Jumlah yang berdaftar dan keluar mengundi bagi etnik Cina adalah tinggi, dan menumpukan kekuatan undi mereka kepada satu parti yang mereka yakin, iaitu DAP.
Sementara orang Melayu pula, walaupun mereka kelompok majoriti, namun ramai yang tidak berdaftar dan keluar mengundi,ditambah pula masalah perpecahan undi mereka di kalangan pelbagai parti politik di negara ini. Situasi ini menyebabkan tumpuan kekuatan orang Melayu yang juga menunjangi orang Islam di Malaysia menjadi tergugat kerana mereka tidak diwakili oleh satu parti politik yang kuat.
Masalah ini semakin memburuk apabila timbul tuntutan dari etnik minoriti yang mempunyai majoriti dalam pentadbiran kerajaan, seperti di Selangor dan P. Pinang. Orang Melayu mungkin marah kerana hak mereka sebagai kelompok majoriti seperti dinafikan, namun mereka juga perlu menerima hakikat bahawa "majoriti" yang menguasai pentadbiran sesebuah kerajaan sahaja yang berkuasa menentukan undang-undang dan peraturan.
2) Ketegangan di antara keadilan dan demokrasi
Sama seperti situasi yang dibincangkan di atas, apabila kelompok etnik minoriti menguasai pentadbiran sesebuah kerajaan maka ketegangan akan timbul apabila usul yang bertentangan dengan aspirasi/pendapat/kepercayaan majoriti rakyat yang sebenar dibawa oleh wakil rakyat yang terpilih. Dalam menghadapi situasi ini, sudah pastinya pihak yang menguasai pentadbiran akan akhirnya dapat mengatasinya dengan menggubal dasar yang akan memastikan kelompok rakyat majoriti sebenar terus berpecah-belah dan tidak mampu untuk mempengaruhi keputusan kerajaan.
Bagaimana ini semua boleh berlaku pada asalnya? Perkara ini akan kita bincangkan selepas ini.
3) Peranan mereka yang pakar
Di sinilah bermulanya semua masalah. Sedang Islam menganjurkan agar kita memilih pemimpin yang layak dan adil, namun perkara yang sama tidak dapat dijamin oleh sistem demokrasi. Seringkali dibuktikan dalam sejarah, beberapa pemimpin yang telah memenangi pilihanraya kerana emosi rakyat berjaya dimanipulasi sehingga ramai keluar mengundi tanpa memikirkan kesan masa panjang. Perkara yang sama juga berlaku di Malaysia.
Ramai yang telah keluar mengundi sebelum ini tidak memikirkan kesan jangka panjang terhadap undi yang mereka berikan kepada pemimpin politik yang bertanding. Ada yang mengundi dengan taksub, dengan hanya melihat logo parti tanpa menilai keupayaan dan kelayakan calon itu sendiri. Dalam erti kata lain, bagi pengundi jenis ini, letak selipar pun boleh menang asalkan selipar tersebut mewakili parti politik yang mereka sokong.
Ada yang berpuas hati hanya dengan melihat parti atau pemimpin politik tertentu kalah dalam pilihanraya. Selepas itu mereka tidak ambil peduli lagi. Tahukah anda bahawa setiap wakil rakyat yang anda pilih layak untuk mengusul dan meluluskan undang-undang yang boleh memberikan kesan kepada masa depan anda?
Tahukah kita juga bahawa setiap wakil rakyat yang kita pilih, kita tanggung elaun dan kehidupan mereka (melalui cukai) selepas itu sehingga mereka mati? Jadi apakah kita masih lagi mahu menutup mata ketika mengundi?
Oleh kerana etnik majoriti ramai yang tidak berdaftar, keluar mengundi, malah merosakkan undi, maka pihak yang tidak sepatutnya menang (contohnya wakil rakyat yang anti Islam/Melayu) menang pilihanraya kerana disokong secara padu oleh kelompok etnik tertentu, termasuklah pecahan kecil orang Melayu Islam itu sendiri. Kemudian apabila kelompok pemimpin ini menggubal pula dasar yang menidakkan hak orang Islam sebagai rakyat majoriti, apakah layak untuk kita marah dan beremosi?
Jika kelompok bukan Islam semakin berani menekan orang Islam di negara Islam sendiri, apakah semuanya berpunca dari kesilapan kita sendiri? Mengapa kita perlu menjerit-jerit dan melaungkan slogan perang jihad sedangkan kita juga yang tidak mengambil peluang untuk mewujudkan sebuah kerajaan Melayu-Islam yang kuat pada pilihanraya yang lalu?